Hari 7: Mahdzir pernah mengadu pada Madinah


shadow

Hari ketujuh perbicaraan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor, hari ini dijangka menyaksikan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid akan menyambung keterangannya di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah berdepan dua tuduhan rasuah berkaitan projek tenaga solar untuk 369 sekolah di kawasan pedalaman Sarawak.

Projek itu bernilai RM1.25 bilion dan dianugerahkan kepada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd melalui kaedah rundingan terus.

Bekas peguam kanan, Gopal Sri Ram, bertindak sebagai ketua pendakwaan, manakala Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kadir bertindak sebagai peguam bela Rosmah. 

Sebelum ini Madinah Mohamad sudah memberi keterangan. Beliau ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan yang kemudian dilantik menjadi Ketua Audit Negara menggantikan Ambrin Buang.

LANGSUNG 

10.48 pagi: Pada 2016, kata Madinah, menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid, ada mengadu kepadanya mengenai tekanan yang dikenakan oleh Najib berhubung projek di Sarawak.

Antara lain, kata Madinah, Mahdzir mengadu mengenai kemarahan Najib apabila projek hibrid itu lewat dilaksanakan.

Kata saksi terbabit, Mahdzir juga bimbang mengenai kesan kewangan dan perundangan yang akan dihadapi Kementerian Pendidikan jika kontrak sedia ada untuk membekalkan tenaga elektrik ke sekolah di Sarawak dibatalkan atas arahan Najib.


10.39 pagi: Menurut saksi, beliau tidak akan melayan cadangan Jepak jika bukan kerana Najib.

Hal itu kerana, kata Madinah, Jepak tidak pun menyediakan pecahan kos untuk projek berkenaan, serta butiran bidang kerja mereka.

Katanya lagi tiada perunding bertaulian dilantik oleh syarikat berkenaan untuk menjalankan projek tersebut.

“Projek hibrid solar itu sendiri tak ada dalam pelan pembangunan Kementerian Pendidikan sebelum ini,” katanya.


10.25 pagi: Madinah berkata beliau bingung mengapa suami Rosmah, Najib, mengeluarkan arahan agar projek solar hibrid dijalankan pada 2016 tanpa melalui perancangan dan kajian.

Kata bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Najib ialah seorang ketua yang berwawasan, memandang ke depan dan bijak.

“Datuk Seri Najib sentiasa berhati-hati dengan kos dan keperluan melaksanakan mana-mana projek,” katanya.


10.15 pagi: Pihak pendakwaan selesai menyoal Mahdzir dan beliau dilepaskan sebagai saksi.

Menyusul selepas Mahdzir ialah Madinah.


10.01 pagi: Perbicaraan bermula dengan pihak pendakwaan, Gopal, menyoal Mahdzir.

Tinggalkan komen anda