Hari 74: Keputusan pinjaman SRC tak dibuat lebih awal sebelum diluluskan – Najib


shadow

Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-74 hari ini.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.Iklan


10.50 pagi – Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa kabinet tidak memutuskan lebih awal dalam meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Farhan Read, Najib berkata ini kerana para menteri kabinet boleh memberikan pandangan mereka dan boleh menentang sebarang kertas kabinet yang dibentangkan oleh perdana menteri.

Farhan bertanya mengenai isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas, sama ada jaminan kerajaan telah ditetapkan terlebih dahulu untuk diluluskan.

“Sudah tentu tidak. Ahli kabinet boleh memberikan pandangan malah kertas yang dibentangkan oleh perdana menteri boleh ditolak oleh kabinet.

“Para menteri bebas untuk memberi pandangan mereka mengenai kertas itu,” kata Najib.


10.12 pagi – Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa tindakan SRC International menulis kepadanya berhubung pinjaman RM3.95 bilion tidak mengatasi kuasa Kumpulan Wang Persaraan Diperbandankan (KWAP) untuk memutuskan merit permohonan pinjaman.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Farhan Read, bekas menteri kewangan itu mengatakan bahawa ia dilakukan hanya untuk memulakan proses dan bahawa beliau (Najib) tidak dapat mengatasi kuasa KWAP untuk memutuskan merit permohonan pinjaman.

“Ini akan memulakan proses untuk mempertimbangkan permohonan (pinjaman) oleh SRC. Ini tidak bermakna saya akan mengatasi kuasa panel pelaburan (KWAP).

“Menurut undang-undang, panel pelaburan mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan (keputusan permohonan). Sebagai seorang menteri, saya tidak boleh mengatasi kuasa itu,” kata Najib.

Najib juga berkata perkara itu jelas ditunjukkan apabila KWAP hanya meluluskan pinjaman RM2 bilion kepada SRC pada 2011, dan bukannnya RM3.95 bilion.


10.04 pagi – DPP V Sithambaram selesai pemeriksaan balas terhadap Najib Razak.

Sebagai balasan kepada beberapa soalan oleh Sithambaram, Najib menafikan beliau tahu mengenai RM42 juta dalam akaun banknya antara Dis 2014 dan Feb 2015.

Sithambaram kemudian selesai pemeriksaan balasnya, dengan peguam pembelaan Farhan Read memulakan pemeriksaan semula terhadap tertuduh.


9.49 pagi – Najib Razak masuk kandang saksi. Prosiding bermula.

Turut dilihat di mahkamah ialah DPP V Sithambaram, yang dijangka menghabiskan satu jam lagi untuk menjalankan pemeriksaan balas terhadap Najib.

Turut hadir ialah peguam bela tertuduh Muhammad Shafee Abdullah, yang dijangka memulakan pemeriksaan semula terhadap Najib selepas pendakwaan selesai pemeriksaan balas hari ini.


9.25 pagi – Tertuduh Najib Razak melangkah masuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.

Perbicaraan akan bermula sedikit lambat kemudian hari ini kerana pasukan pertahanan bekas perdana menteri perlu menghadiri perkara berasingan di Mahkamah Tinggi lain.

Prosiding berasingan berkenaan dengan keputusan mahkamah ke atas permohonan Najib, isterinya, Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Najwa untuk memeriksa barang yang disita oleh SPRM semasa siasatan 1MDB.

Pasukan pembelaan hari ini mendapat peluang untuk pemeriksaan semula terhadap Najib Razak bagi peringkat pembelaan perbicaraan RM42 juta SRC International bekas perdana menteri itu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah akan membuat pemeriksaan semula itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada hari ke-74 pendengaran hari ini.

Hari ini adalah hari pertama pemeriksaan semula Najib, selepas pendakwaan selesai pemeriksaan balas terhadap tertuduh pada 23 Jan lalu.

Seperti yang digariskan di bawah undang-undang, pemeriksaan semula adalah peluang untuk Najib, melalui soalan yang diajukan oleh pasukan pembelaannya, untuk menjelaskan sebarang isu yang timbul semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tommy Thomas dan DPP V Sithambaram.

Pada 23 Jan lalu, semasa pemeriksaan balas oleh Sithambaram, Najib antara lain memberi keterangan bahawa sukar untuk mendapatkan ahli keluarga diraja Saudi memberi jaminan kesahihan berbilion ringgit yang didakwanya merupakan derma.

Najib, yang juga bekas menteri kewangan dan penasihat SRC International, sedang dibicarakan berhubung tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang RM42 juta syarikat Menteri Kewangan DIperbadankan (MoF Inc).

Tinggalkan komen anda