Isu video tular doktor jerit pesakit diselesaikan secara baik, kata JKNNS


shadow

Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menjelaskan kedua-dua individu yang terlibat dalam video tular membabitkan seorang doktor yang dikatakan menjerit pada pesakit di klinik Seremban telah mencapai penyelesaian melalui rundingan secara baik.

Klip video berdurasi 29 saat yang tular pagi ini menggambarkan seorang doktor, pesakit dan adik-beradik pesakit yang bercakap dengan nada yang tinggi dipercayai menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.

Rakaman tersebut dimuat naik di Facebook menerusi akaun ‘Murugan Ramasamy’ yang mendakwa dirinya sebagai pesakit dalam situasi itu.

“Pihak JKNNS memandang serius isu ini dan siasatan awal telah dijalankan serta-merta berhubung insiden tersebut.

“Pengadu juga telah dihubungi bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Terkini, isu ini telah diselesaikan melalui rundingcara kedua-dua pihak,” kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohamad Faid Abd Rashid dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menggesa supaya orang ramai tidak membuat andaian terhadap mana-mana pihak yang terlibat dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi JKNNS atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, sebarang aduan mengenai perkhidmatan kesihatan perlulah dikemukakan melalui saluran rasmi yang disediakan.

Mohamad Faid turut mengingatkan orang ramai bahawa mengambil gambar atau video tanpa kebenaran di fasiliti kesihatan adalah tidak dibenarkan.

“Larangan ini adalah amat penting untuk difahami dan dipatuhi oleh orang ramai terutamanya demi menjaga kerahsian pesakit-pesakit lain yang sedang menerima rawatan mahupun pemeriksaan fasiliti kesihatan termasuk di bilik konsultasi Pegawai Perubatan,” katanya

Tinggalkan komen anda