‘Kingmaker’ Sabah, Sarawak kemuka syarat pada PH – Sumber


shadow

Sejumlah 56 anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak bersedia untuk memainkan peranan penentu ‘king maker’ dalam keadaan kerajaan Pakatan Harapan runtuh.

Sumber PH mendakwa kehadiran PAS dalam gabungan baru politik yang digerakkan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali mungkin menjadi penghalang.

Menurut sumber lagi, kedua-dua kumpulan MP itu telah menyatakan syarat kerjasama mereka dalam gabungan baru politik itu.

“Shafie Apdal tidak mahu Bersatu terlibat di Sabah yang merupakan tawaran yang lebih mudah untuk dicapai bersama Anwar.

“Apa yang lebih sukar untuk dirundingkan ialah Gabungan Parti Sarawak mahu kerusi timbalan perdana menteri dan lebih banyak hak di bawah perjanjian MA63.

“Mereka juga akan menggesa diwujudkan keadaan pembangkang sifar di Sarawak,” kata sumber itu.

GPS mempunyai 18 MP, manakala parti Warisan pimpinan Shafie dan sekutu Upko mempunyai 10 MP. Jumlah MP ini membolehkan mereka mengemukakan tuntutan kepada kedua-dua belah pihak.

Hari ini, pemimpin GPS, James Masing, yang mengetuai Parti Rakyat Sarawak ketika ditanya mengenai kerjasama dengan PAS berkata: “Saya fikir kita lebih selesa dengan PAS berbanding keangkuhan DAP.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada hari ini juga menyerahkan peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu, yang mempunyai 26 anggota parlimen.

Terdahulu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar daripada PH.

Langkahnya diikuti oleh timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang mengetuai 10 orang MP keluar parti.

Dengan PH kehilngan 37 MP, kedua-dua gabungan pro Azmin dan Anwar cuba mendapatkan sokongan anggota parlimen dari Malaysia Timur.

Tinggalkan komen anda