Kumpulan Azmin sokong perdamaian nasional


shadow

KUALA LUMPUR: Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan sokongan kepada usaha rekonsiliasi perdamaian nasional di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Usaha perdamaian nasional itu dipercayai merujuk kepada percaturan mewujudkan kerajaan campuran membabitkan beberapa parti tertentu.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan perdamaian nasional itu membabitkan Ahli Parlimen memberi keutamaan kepada aspirasi rakyat dan agenda nasional.

“Rekonsiliasi ini akan mengendurkan perebutan kuasa dalam kalangan parti politik dan memungkinkan penggemblengan tenaga untuk menjayakan matlamat bersama dan memupuk kebaikan yang lebih besar untuk negara.

“Rekonsiliasi nasional akan terlaksana pimpinan Dr Mahathir bersama dukungan semua pihak yang mahukan Malaysia stabil dan terus maju menangani cabaran bangsa.

“Kami mengulangi sokongan penuh terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sepenggal penuh untuk melaksanakan rekonsiliasi nasional ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Selain Mohamed Azmin, turut dinamakan dalam kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Mereka turut menggesa semua ahli politik meninggalkan politik kepartian yang sempit bagi memenuhi aspirasi rakyat yang mahu melihat ekonomi dipulihkan, menjana pertumbuhan, mencipta pekerjaan, melaksana dasar agar kemakmuran negara dikongsi bersama.

Dalam kenyataan sama, semua bekas Ahli Parlimen PKR itu turut menghargai tindakan rakyat yang kekal tenang dan menjalani kehidupan harian disebalik kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

“Kami amat terkesan dengan sikap berimbang dan saksama rakyat Malaysia. Kami merasai denyut nadi kehidupan anda. Aspirasi anda akan kami penuhi,” katanya.

Tinggalkan komen anda