MAB: Notis pelantikan berkait penyelesaian Malaysia Airlines System


shadow

KUALA LUMPUR: Notis pelantikan dan alamat penyelesai interim yang berlegar di media sosial berkaitan Malaysian Airline System Bhd (MAS) yang kini sudah tidak berfungsi dan beroperasi lagi, justeru, sama sekali tidak melibatkan Malaysia Airlines Bhd (MAB), jelas MAB hari ini.

“Ia merupakan penyelesaian syarikat lama iaitu MAS. MAB adalah entiti perundangan yang berasingan,” menurut jurucakap MAB kepada Bernama ketika ditanya mengenai siaran notis itu di dalam ruang iklan akhbar.

Iklan akhbar berhubung pelantikan penyelesai interim untuk MAS.

Beliau berkata, oleh yang demikian, ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan MAB.

Berdasarkan Seksyen 513(1) Akta Syarikat 2016, penyelesai interim perlu menyerah simpan notis pelantikannya, alamat pejabatnya dan apa-apa perubahan alamat dengan pendaftar dan pegawai penerima mengikut cara yang ditentukan pendaftar dalam tempoh 14 hari daripada tempoh pelantikan atau perubahan alamat tersebut.

Jika gagal berbuat demikian, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000, jika berterusan boleh didenda tidak melebihi RM500 sehari, sekiranya sabit kesalahan.

Sebagai sebahagian pelan pemulihan, pada 1 Sept 2015, MAB mengambil alih MAS sebagai syarikat penerbangan negara.

MAB dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, melalui dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd, yang kini sedang mencari rakan kongsi strategik untuk syarikat penerbangan tersebut.

Tinggalkan komen anda