Mas Ermieyati kalahkan Redzuan di Masjid Tanah


shadow

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Redzuan Yusof tewas kepada Mas Ermieyati Samsudin pada pemilihan bahagian Bersatu di Masjid Tanah semalam.

Sumber dalam Bersatu memberitahu The Malaysian Insight, Mas Ermieyati menang dengan kutipan 414 undi, menewaskan Redzuan yang memperoleh 328 undi pada pemilihan pertama parti itu.

Kemenangan Mas Ermieyati sekaligus merampas jawatan ketua Bahagian Bersatu Melaka yang sebelum ini disandang Redzuan. 

Calon ketiga yang bertanding, A Lukman Ab Ghani, memperoleh 227 undi.

Mas Ermieyati mengesahkan kemenangannya kepada The Malaysian Insight.

Beliau yang juga ahli Parlimen Masjid Tanah, menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Bekas timbalan menteri pelancongan itu keluar dari Umno pada Jun 2018. 

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun berjaya mengekalkan jawatan ketua Wanita Bahagian Sepang dengan 168 undi.

Jawatan ketua Bahagian Sepang dimenangi oleh Suhaimi Mohd Ghazali (371 undi) manakala timbalan ketua dimenangi oleh Sadiman Saridi (288).

Tinggalkan komen anda