Muhyiddin boleh jadi PM, kata Dr Mahathir


shadow

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin boleh jadi perdana menteri kelapan sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang akan membuat penentuan pada Isnin ini, kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau membincangkan kemungkinan itu dalam pertemuan selama dua jam dengan Muhyiddin hari ini.

“Ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan termasuk Muhyiddin jadi calon perdana menteri.

“Kalau semua (ahli Parlimen) pilih beliau, saya okay. Kalau beliau ke Parlimen dan dapat majoriti maka beliau berhak jadi PM,” kata Dr Mahathir, selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi di Putrajaya, hari ini.

Katanya, Muhyiddin lebih terbuka menerima kerjasama dengan pembangkang.

“Pendirian saya ialah saya tidak terima Umno tetapi saya terima mereka yang tinggalkan Umno.

“Tetapi Muhyiddin sedia untuk terima mereka. Siapa pun yang menang saya terima untuk jadi perdana menteri,” kata Dr Mahathir.

Sejak awal petang tadi, beberapa pemimpin Bersatu dan ahli Parlimen dari kumpulan Mohamed Azmin Ali yang keluar PKR dilihat berada di kediaman Muhyiddin, selepas beliau pulang dari pertemuannya dengan Dr Mahathir di Putrajaya.

Pemimpin Bersatu seperti Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik enggan memberi sebarang komen pada media ketika tiba lebih kurang pukul 4.30 petang.

Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar, seorang daripada Kumpulan 11 Azmin, juga enggan mengulas lanjut.

“Datang untuk minum petang,” katanya.

Sebelum itu, setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham juga dilihat berada di rumah Muhyiddin.

Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin dan Senator Radzi Jidin juga muncul lebih kurang pukul 5 petang.

Tinggalkan komen anda