NGO Taman Desa gesa siasatan bangunan runtuh didedah pada awam


shadow

NGO Gabungan Lindungi Taman Desa menggesa hasil siasatan berkenaan kejadian sebahagian daripada struktur kondominium ‘The Address’ runtuh didedahkan kepada awam.

Gesaan itu hadir selepas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan punca sebenar kejadian yang berlaku pada 14 Feb lalu.

Anggota jawatankuasa NGO itu, Philip Phang, dalam sidang akhbar hari ini berkata siasatan perlu dijalankan dengan teliti dan telus.

“Gabungan Lindungi Taman Desa meminta agar hasil siasatan didedahkan kepada awam.Iklan

“Perlu ada ketelusan tanpa kompromi,” katanya.

Semalam, Khalid berkata wujud kemungkinan spesifikasi struktur tidak dipatuhi, menyebabkan bangunan itu runtuh dari tingkat enam dan ke bawah.

Sekiranya hasil siasatan selari dengan kemungkinan itu, Phang berkata struktur yang tersisa mesti dibongkar dengan serta-merta untuk mengelak daripada menjadi projek terbengkalai.

“Sekiranya siasatan mendapati runtuhan itu terjadi akibat struktur dan integriti struktur keseluruhan bangunan dikompromi, pemaju, termasuk pengarahnya perlu memastikan sisa struktur dibongkar serta-merta.

“Ia agar tidak wujud gangguan awam lagi dengan projek terbengkalai dan tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Phang juga mempersoalkan sama ada pekerja yang terlibat dengan pembinaan telah disaring dengan kemahiran serta latihan yang betul.

“Siasatan juga mesti memastikan sama ada pekerja yang menjalankan kerja pembinaan telah disaring dan diperakui ecekapan mereka untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan yang diberikan.

“Adalah jelas bahawa banyak kontraktor menggunakan khidmat pekerja asing,” katanya.

Meskipun pemaju mendakwa kejadian runtuh itu berlaku ketika pekerja sedang membina kawasan kolam renang, Phang mendakwa bahawa penduduk kondominium Tiara Faber, yang terletak berhampiran dengan projek itu, melaporkan bahawa kolam renang telah siap sebelum ini.

“Beberapa gambar yang diambil sebelum ini menunjukkan bahawa kolam renang yang terletak di bahagian belakang kelihatan sudah siap,” katanya lagi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pembinaan bangunan itu telah diarah dihentikan serta-merta sementara menunggu siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh).

Phang berkata ini bukan kali pertama kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan itu.

Menurutnya, pada Januari 2019, sebuah kren yang beroperasi berhampiran kawasan itu runtuh dan menimpa kondominium Tiara Faber.

“Ia merosakkan dinding pembahagi dan bangunan perkhidmatan utiliti. Nasib baik tidak ada kecederaan atau korban kerana ia berlaku pada hari kerja,” katanya.

Dalam kejadian sebahagian bangunan The Address runtuh baru-baru ini, dua pekerja berjaya diselamatkan setelah terperangkap di bawah runtuhan bangunan itu.

The Address direncana mempunyai tiga menara dengan 30 tingkat setiap satu. Ia dibina di tanah yang sebelum ini merupakan tanah rizab Tenaga Nasional Bhd.

Penduduk Taman Desa pernah giat berkempen membantah projek itu kerana tanah rizab itu ditetapkan sebagai kawasan hijau di bawah Pelan Induk Kuala Lumpur 2020.

Bagaimanapun, bantahan mereka tidak diendahkan dan tindakan undang-undang mereka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak berjaya.

Tinggalkan komen anda