Pakatan dijangka bentuk kerajaan minoriti


shadow

SEBUAH kerajaan minoriti dijangka dibentuk buat kali pertama dalam sejarah selepas Pakatan Harapan menyatakan sokongan ke atas Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.

Sumber parti PKR dan DAP memberitahu The Malaysian Insight pagi ini, mereka akan mempersembahkan nama Anwar sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew yang berkata beliau memilih Anwar sebagai perdana menteri sewaktu ditemuduga Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga selepas itu memberitahu pemberita beliau memilih “salah seorang dari dalam parti (PKR)”.

Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan hari ini.

Awal hari ini juga Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata Anwar perlu diberi peluang membuktikan beliau ada sokongan untuk menjadi perdana menteri kelapan.

“Ia jawatan yang tak boleh diwariskan atau diserah begitu saja. Mesti dapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Harap PBBM (Bersatu) tunaikan janji. Tun PM ke 7, DSAI (Anwar) PM ke 8,” tulisnya di Twitter.

Menurut sumber parti, keputusan itu dicapai malam tadi dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, yang berlangsung tidak lama selepas Barisan Nasional, PAS dan seorang wakil rakyat PBRS mengumumkan mendesak diadakan pilihan raya semula.

Sumber berkata keputusan BN, PAS dan PBRS itu membuka ruang kepada kemungkinan tersebut.

Sehingga sebelum sidang media itu, BN dan PAS dijangka menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sebelum membentuk kerajaan baru bersama Bersatu.

Temuduga Seri Paduka bersama baki 139 ahli Parlimen hari ini dimulakan dengan 25 wakil rakyat Bersatu pada 10 pagi tadi, diikuti PKR (39) dan Amanah (11).

11 ahli Parlimen dari kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali menghadap Yang Di-Pertuan Agong pada 1 petang diikuti 8 wakil rakyat dari Sabah. Ia disusuli 42 ahli Parlimen DAP pada 2 petang dan baki 3 wakil rakyat pada 3.30 petang.

Setakat ini, sekiranya Bersatu (25), Parti Warisan Sabah dan Upko (10), Gabungan Parti Sarawak (18), dan 11 ahli Parlimen bebas diketuai Azmin menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Ahli Parlimen Langkawi itu mempunyai 64 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Sekiranya DAP (42), PKR (39) dan Amanah (11) menyokong Anwar, presiden PKR itu mempunyai 92 kerusi.

Ahli Parlimen DAP tiba ke Istana Negara dengan menaiki menaiki bas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Februari, 2020.
Ahli Parlimen DAP tiba ke Istana Negara dengan menaiki menaiki bas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Februari, 2020.

Dengan BN dan PAS mahu pilihan raya sekali lagi, mereka dikira berkecuali daripada menyatakan pilihan calon perdana menteri. Walaupun ada lima lagi wakil rakyat bebas dari Sabah dan Sarawak, keputusan mereka tidak mengubah kedudukan sokongan di atas.

Mengambil kira peruntukan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Yang Di-Pertuan Agong perlu melantik Anwar sebagai perdana menteri memandangkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Oleh sebab Perlembagaan Persekutuan menyatakan perdana menteri mesti mempunyai majoriti mudah 112 kerusi, Anwar boleh dilantik dengan sokongan majoriti 92 berbanding 64.

Anwar dengan itu berpeluang membentuk sebuah kerajaan minoriti.

Apa itu kerajaan minoriti?

Kerajaan minoriti ialah sebuah Jemaah Menteri yang dibentuk di bawah sistem parlimen yang parti politik atau gabungan parti politiknya tidak mempunyai majoriti kerusi di dewan perundangan.

Kerajaan minoriti bukanlah sesuatu yang tidak lazim. Ia pernah wujud di beberapa negeri yang mengamalkan sistem parlimen seperti Estonia, Ireland, Belanda, Norway, United Kingdom, Scotland, Wales, Belgium, New Zealand dan beberapa lagi.

Dengan mengetuai sebuah kerajaan minoriti, tugas segera Anwar ialah mendapatkan sokongan dari parti-parti lain di Dewan Rakyat bagi memastikan kerajaannya tidak ditumbangkan melalui usul undi tidak percaya.

Yang Di-Pertuan Agong memanggil 222 ahli Parlimen mengadap selepas kerajaan Pakatan Harapan yang dibentuk pada Mei 2018 runtuh setelah Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan Bersatu bertindak keluar daripada gabungan itu, Isnin lalu.

Pada hari sama, Dr Mahathir mengumumkan beliau melepaskan jawatan pengerusi Bersatu.

Tinggalkan komen anda