Pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion dilancar


shadow

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang ditunjangi oleh tiga strategi.

Perdana Menteri Interim berkata, tiga strategi itu ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

“Pertama sekali, saya ingin ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain di barisan hadapan yang bertungkus lumus melindungi Malaysia dari wabak COVID-19.

“Penularan penyakit COVID-19 di Malaysia telah terkawal, dengan semakin ramai pesakit telah beransur pulih daripada penyakit ini. Walaupun kesan COVID-19 ketika ini adalah terkawal, namun wabak ini telah memberikan

impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

“Justeru, kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi 2020 bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak ini dapat ditangani dengan berkesan. Dalam masa yang sama, beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi 2020 bertema “Memperkukuh keyakinan, merangsang pertumbuhan, melindungi pekerjaan” di sini, sebentar tadi.

Malaysia adalah antara negara terawal mengumumkan pakej rangsangan selepas Singapura berbuat demikian menerusi Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai S$4 bilion (RM12 bilion) minggu lalu.

Pakej rangsangan ekonomi diumumkan Dr Mahathir di tengah-tengah kemelut politik negara yang belum berakhir.

Pengumuman ini menjadi yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Pakej rangsangan SARS yang diperkenalkan kerajaan ketika itu menumpukan empat strategi utama dan 90 langkah, yang bertujuan menjana kegiatan ekonomi dengan menggerakkan sumber pertumbuhan domestik, meningkatkan penggunaan dan menggalakkan pelaburan.

Tinggalkan komen anda