Pegawai kesihatan daerah didakwa kemuka tuntutan palsu


shadow

SEORANG pegawai kesihatan daerah dan penolong akauntan didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini, masing-masing atas 49 pertuduhan kerana mengemukakan baucar bayaran mengandungi butiran palsu berjumlah RM807,816.27, serta bersubahat melakukan perbuatan itu, dari 2015 sehingga 2016.

Dr Zaharah Mohd Salleh, 59, Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah Ledang dan Noor Shazriena Miskam, 34, penolong akauntan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, Dr Zaharah didakwa mengemukakan baucar bayaran palsu berjumlah RM807,816.27 kepada Kementerian Kesihatan iaitu bayaran pembekalan barangan membabitkan lima syarikat yang dalam pengetahuannya adalah tuntutan palsu dan barangan itu tidak dibekalkan.

Noor Shazriena pula dituduh bersubahat dengan Zaharah bagi melakukan semua perbuatan itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Ledang dari Mac 2015 hingga November 2016.

Dr Zaharah didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta terbabit manakala Noor Shazriena didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama yang dibacakan bersama dengan Seksyen 18 akta tersebut yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta berkenaan.

Kedua-duanya berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Johor Suhaili Sapun menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 kepada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Gan Seong Kim yang mewakili Dr Zaharah memohon jaminan itu dikurangkan memandangkan keadaan Dr Zaharah yang sedang menghidapi kanser kolon sejak Mac 2019 dan masih lagi menjalani rawatan kimoterapi.

Sementara itu, peguam Siti Nasrina Hasbullah yang mewakili Noor Shazriena pula memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya terpaksa menanggung lima orang anak yang masih kecil.

Kamarudin kemudian memutuskan Dr Zaharah diikat jamin sebanyak RM50,000 manakala Noor Shazriena RM60,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Beliau juga mengarahkan pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Kes itu akan disebut semula pada 15 Mac ini.

Tinggalkan komen anda