Petugas Hospital Selayang bukan tangani pesakit COVID-19


shadow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan terdapat pesakit dijangkiti coronavirus baru atau COVID-19 ditempatkan di Hospital Selayang, seperti tular di media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata laporan itu palsu dan menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih menerusi laman web rasmi kementerian.

“Setakat ini, tiada kes coronavirus 2019 di Hospital Selayang. Berita tular itu palsu,” katanya pada BH, hari ini.

Terdahulu, sebuah video dengan tempoh 25 saat yang memaparkan beberapa individu memakai sut berwarna putih, topeng hidung dan mulut dikaitkan dengan penularan COVID-19, di hadapan unit kecemasan hospital berkenaan tular di media sosial.

Kementerian dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini meminta orang ramai untuk berhenti menyebar berita palsu berkaitan penyakit berkenaan.

“Rakaman video ini palsu. Jadi, pengguna media sosial yang matang dan bertanggungjawab,” katanya.

Tinggalkan komen anda