Polis buru suspek bunuh lelaki pecahkan cermin kereta


shadow

POLIS sedang giat menjejak seorang suspek yang disyaki telah menikam seorang lelaki berusia 37 tahun hingga mati pagi tadi kerana mangsa dikatakan telah memecahkan cermin kereta milik suspek berdekatan sebuah rumah kedai di Batu Kawa di Kuching, Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Ramli Din berkata dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 3.40 pagi tadi, mangsa bersama suspek sebelum itu minum di sebuah kedai di kawasan itu sebelum mereka beredar daripada premis terbabit dengan menunggang sebuah motosikal.

“Sebaik sahaja menaiki motosikal terbabit, suspek yang membonceng telah menyelak bajunya dan mengeluarkan sesuatu yang dipercayai senjata tajam lalu menikam mangsa sehingga rebah di atas jalan, sebelum suspek melarikan diri menggunakan motosikal mangsa.

“Insiden dipercayai berlaku selepas suspek menuduh mangsa telah memecahkan cermin keretanya,” katanya kepada pemberita  selepas menyempurnakan majlis penyerahan kenderaan Polis Diraja Malaysia kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Negeri di Jalan Badruddin, hari ini.

Ramli berkata rakaman kamera litar tertutup berhubung insiden berkenaan telah diperoleh dan polis juga sudah mengenal pasti suspek, kini operasi mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada majlis itu, sebanyak 35 kenderaan iaitu lapan Mitsubishi Outlander 2.4 (AT), 21 Hilux Double Cap 2.4 (AT) dan enam Motolori Hino diagihkan ke beberapa jabatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh Sarawak.

Tinggalkan komen anda