Prototaip Kereta Nasional Telah Siap


shadow

 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pembangunan 2 kereta dan satu motosikal negara berjalan dengan lancar dimana prototaip bagi model pertama yang dibangunkan telah siap.

Menurut beliau, model prototaip itu tidak akan dipamerkan kepada umum sehingga ada pelabur yang berminat membangunkannya.

“Disebabkan ia adalah projek bagi kenderaan masa depan jadi kerajaan mahu kenderaan nasional ketiga ini nanti dilengkapi dengan teknologi moden.

“Jadi, kerajaan sangat mengalu-alukan pelabur dari mana-mana syarikat seluruh negara tidak hanya Jepun, termasuk China, Korea dan negara Eropah dan kami berkolaborasi dengan negara yang memilik teknologi,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, hari ini.

Tun Mahathir dalam masa yang sama turut menyatakan bahawa kerajaan menjangkakan Projek Kenderaan Malaysia secara tidak langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongannya bagi industri hiliran dan huluan.

Katanya, menerusi projek berkenaan, ia sekaligus akan mewujudkan permintaan untuk bahan berkaitan lain, seperti keluli gred tinggi, plastik, getah dan produk petrokimia.

“Ia akan terus merangsang pertumbuhan sub sektor ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, semua pemain industri, daripada pengilang peralatan asal (OEM) kepada syarikat tempatan digesa untuk terus bekerjasama bagi meningkatkan penggunaan syarikat tempatan dalam aktiviti tambah nilai tinggi domestik serta rantaian bekalan global.

Dengan berbuat demikian, katanya, industri boleh mewujudkan limpahan ekonomi positif khasnya dalam pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan sambil mengembangkan pelaburan dan meningkatkan eksport.

Tinggalkan komen anda