Warisan petang ini isytihar sokong Mahathir


shadow

Parti Warisan Sabah menyatakan sokongan buat Dr Mahathir Mohamad untuk terus kekal berkhidmat sebagai perdana menteri.

Kata Presidennya, Mohd Shafie Apdal, kepemimpinan parti itu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat Sabah.

“ […] pemimpin Sabah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini, dalam suasana politik negara sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Shafie tidak menyatakan komitmennya untuk terus menyokong PH ataupun tidak.

Semalam Warisan disebut-sebut akan menyertai gabungan baru parti politik bersama GPS, Bersatu, Umno, PAS dan kumpulan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Kerajaan PH runtuh hari ini setelah tiada gabungan parti yang mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini setelah berlakunya siri keluar parti daripada PKR dan Bersatu.

Jumlah anggota parlimen PH yang tinggal, masih belum jelas, namun ia berkemungkinan tidak mencapai jumlah 112 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Warisan dan sekutunya Upko merupakan sebahagian daripada kabinet Mahathir dan mempunyai 10 kerusi di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Shafie telah menyatakan sokongan buat Mahathir dan berkata tiada keperluan buat anggota parlimen Langkawi itu untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim.

Sementara Warisan belum menyatakan kecenderungan terbaru berkenaan kerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah, di Sarawak pula, Gabungan Parti Sarawak meluahkan rasa berat hati mereka untuk bekerja dengan DAP.

Tinggalkan komen anda