Bekalan kondom berkurangan


shadow

Dunia kekurangan bekalan kondom apabila pengeluar terbesar alat perlindungan itu menghentikan operasinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia sejak minggu lalu.

Syarikat tempatan, Karex Bhd antara satu daripada lima pengeluar kondom dunia tidak mengeluarkan kondom dari tiga kilang di Malaysia sejak seminggu lalu berikutan arahan PKP yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ia mengakibatkan berlaku pengurangan bekalan pasaran antarabangsa sebanyak 100 juta.

Ketua Eksekutif Karex Bhd, Goh Miah Kiat berkata, syarikat berkenaan diberi kebenaran untuk memulakan kembali operasi pengeluaran Jumaat lalu.

Namun katanya, mereka hanya beroperasi dengan kekuatan 50 peratus tenaga kerja di bawah pengecualian istimewa untuk industri kritikal.

“Ia mengambil masa untuk membuka kilang dan kami akan berjuang memenuhi permintaan dengan kadar kapasiti separuh.

“Kami akan melihat pengurangan di seluruh dunia yang mana ia menjadi ketakutan,” katanya.

Menurut Goh, kebimbangannya kini terarah kepada kebanyakan program kemanusiaan di Afrika.

“Pengurangan ini tidak hanya berlaku untuk dua minggu atau sebulan. Ia boleh berlanjutan hingga berbulan-bulan,” katanya.

Katanya, suka atau tidak permintaan kondom masih tinggi kerana ia satu keperluan penting untuk dimiliki.

Selain Malaysia, negara pengeluar kondom utama lain adalah China, India dan Thailand.

Tinggalkan komen anda