COVID-19: Industri pelancongan rugi lebih RM9 bilion


shadow

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sudah merangka pelan tindakan strategik bagi memperkasa industri pelancongan yang terjejas ekoran penularan COVID-19.

Sehubungan itu, perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan akan dilakukan bagi memperhalusi pandangan dikemukakan penggiat industri pelancongan, khususnya berkaitan bantuan kepada industri itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia susulan kerugian dialami industri pelancongan yang dianggarkan bernilai lebih RM9 bilion sejak Januari hingga Mac tahun ini.

“Pelan tindakan strategik ini adalah hasil perbincangan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC) bersama wakil persatuan industri penginapan, pelancongan, operator bas, peniaga, pemandu pelancong dan pemandu teksi, pada 17 Mac lalu.

“Ini kerana, industri pelancongan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada lebih 3.7 juta rakyat selain antara penyumbang terbesar ekonomi negara membabitkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.3 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, pihaknya akan memperkenalkan kempen pelancongan baharu, menggantikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) yang dibatalkan akibat penularan COVID-19.

Pembatalan TMM 2020 dibuat bagi memberi keutamaan supaya kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan negara serta rakyat terjamin, susulan penularan COVID-19, pada 18 Mac lalu.

“Kempen berkenaan akan bersifat jangka panjang dan bakal memperkukuh jenama ‘Malaysia, Truly Asia’, selain mengetengahkan pengalaman unik di negara ini.

“Kita yakin usaha ini akan mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri pelancongan negara di samping memastikan industri ini inklusif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tinggalkan komen anda