COVID-19: Rakyat Malaysia di luar negara boleh pulang


shadow

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan pulang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa esok hingga 31 Mac ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

Bagi rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan menetap di luar negara serta ingin kembali ke tanah air, pasangan terbabit dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun, mereka perlu membuktikan pengesahan perkahwinan dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan serta kuarantin secara sukarela,” katanya dalam kenyataan soalan lazim yang diedarkan hari ini.

MKN berkata, hanya warga asing yang bekerja dalam sektor perkhidmatan penting negara dibenarkan masuk semula ke Malaysia sepanjang tempoh sekatan.

Warga asing terbabit perlu mendapatkan surat pengesahan daripada majikan masing-masing dan mengemukakannya kepada Jabatan Imigresen ketika berada di pintu masuk negara.

“Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dibenarkan berulang-alik ke negara ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan terpakai kepada semua individu yang berada di negara ini.

“Mana-mana individu yang bekerja di negara jiran tetapi tinggal di Malaysia tidak dibenarkan untuk keluar masuk secara harian dan perlu memaklumkan hal itu kepada majikan masing-masing,” katanya.

MKN berkata, orang ramai turut dilarang mengunjungi mana-mana tempat peranginan untuk aktiviti sosial jika tidak membabitkan perkara berkaitan dengan perkhidmatan penting negara.

Justeru, mereka yang sudah membayar tempahan penginapan hotel dan sebagainya sebelum perintah itu diumumkan, digalakkan berbincang dengan pihak hotel bagi urusan pengembalian wang.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai COVID-19 mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula esok hingga 31 Mac ini.

Katanya, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Tinggalkan komen anda