COVID-19: Tujuh lelaki melepak ditahan di Langkawi


shadow

LANGKAWI: Tindakan seorang lelaki menjemput enam rakan melepak di luar bilik sewanya di Jalan Pantai Chenang di sini, malam tadi, membawa padah apabila mereka ditahan polis kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata tujuh lelaki berusia antara 27 dan 44 tahun itu ditahan anggota polis dari Balai Polis Padang Matsirat pada jam 10 malam.

“Terdahulu hasil aduan awam, sepasukan anggota polis yang menjalankan tugas rondaan mengesan tujuh lelaki berhimpun sambil membuat bising di hadapan sebuah bilik dan membuka muzik dengan kuat.

“Anggota polis yang tiba di lokasi cuba menasihati kumpulan lelaki terbabit supaya bersurai, namun tidak diendahkan dan enggan memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan dokumen peribadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, berikutan itu semua individu terbabit ditahan kerana sengaja menghalang pegawai polis menjalankan tugas dan gagal mengemukakan alasan munasabah untuk berada di luar premis.

“Siasatan awal mendapati semua suspek mengakui berada di tempat pemeriksaan dilakukan bagi tujuan melepak, minum dan mendengar muzik.

“Ini adalah tangkapan pertama di Langkawi membabitkan tingkah laku degil orang ramai yang cuba mengingkari penguatkuasaan PKP bagi menghalang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman dan disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tinggalkan komen anda