Hamzah: Tindakan tegas jika sembunyi suspek Covid-19


shadow

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memberikan amaran supaya orang ramai tidak melindungi individu yang mungkin berkait dengan kluster jangkitan Covid-19.

“Tindakan tegas” akan diambil terhadap pihak yang berbuat demikian, jelasnya.

Sebagai contohnya, Hamzah berkata seseorang itu mungkin berhadapan tindakan undang-undang jika gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai anggota keluarga yang hadir perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur bulan lalu tetapi enggan menjalani pemeriksaan saringan jangkitan Covid-19.

Menurut menteri lagi, pihak keluarga yang memiliki maklumat sebegini perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai individu berkenaan supaya ujian saringan boleh dibuat.

“Ini amaran pertama,” kata Hamzah selepas bermesyuarat bersama para pegawai atasan polis di Bukit Aman hari ini.

Bagaimanapun, Hamzah enggan menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai “tindakan tegas” yang boleh diambil.

“Faham-faham saja lah,” katanya menjelaskan beliau memberikan amaran tersebut selepas diminta berbuat demikian oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Hamzah turut berkata pihak yang menyebarkan kebencian dalam talian juga akan diseret ke muka pengadilan.

Ini katanya kerana Covid-19 tidak mengenal kaum dan agama.

Jadi jangan sebarkan cerita yang boleh menyakiti hubungan pelbagai kaum di negara ini, tegas beliau lagi.

Tinggalkan komen anda