Kanak-kanak maut di Sarawak akibat rabies


shadow

Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun maut akibat penyakit rabies, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkannya hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan kes rabies pertama dilaporkan pada tahun ini di Sarawak selepas kes yang terakhir yang dilaporkan adalah pada 8 November 2019 justeru menjadikannya kes-23 bagi wabak rabies Sarawak yang diisytiharkan sejak 31 Julai 2017.

“Mangsa yang tinggal di Bandar Sibu pernah diserang dan digigit oleh anjing liar pada 8 Mac 2020 di bahagian muka, mulut dan kelopak mata itu tidak dicuci dengan aliran air yang bersih dan sabun sejurus selepas kejadian.

” Beliau kemudiannya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari yang sama dan diberikan  suntikan vaksin anti-tetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) dan dua dos suntikan vaksin anti-rabies semasa dirawat,” katanya.

Menurutnya, pesakit telah discaj dalam keadaan sihat pada 13 Mac. Kemudian, pada 16 Mac 2020, beliau telah diberikan dos ke-tiga vaksin anti-rabies

“Namun, pada 24 Mac 2020, beliau telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu kerana demam dan seterusnya ke Hospital Sibu pada 25 Mac 2020 kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi.

“Mangsa telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Keadaannya bertambah teruk dan telah disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Punca kematian adalah ‘rabies encephalitis’,” katanya.

Sehubungan itu, sampel daripada kanak-kanak ini telah diambil pada 26 Mac 2020 dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 29 Mac 2020. Anjing liar yang mengigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac 2020 namun tiada sampel yang diambil.

Oleh itu, KKM ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan.

rabies JKN Sarawak

Pihak KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Tinggalkan komen anda