Muhyiddin luluskan RM4,000 untuk setiap bahagian Bersatu


shadow

Setiap bahagian parti Bersatu akan menerima bantuan kewangan RM4,000, untuk menolong ahli-ahli yang terjejas berikutan krisis Covid-19.

Parti itu mempunyai 189 bahagian yang bermakna bantuan tersebut berjumlah RM756,000.

“Presiden parti (Muhyiddin Yassin) akan memberi bantuan kepada setiap bahagian untuk digihkan kepada ahli-ahli yang terjejas,” menurut surat yang ditandatangani oleh Hamzah Zainuddin, selaku setiausaha agung baru yang dilantik oleh Muhyiddin.

Surat itu dimuatnaik oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam, yang mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana mendengar cadangan Pemuda Bersatu.

Menurut surat tersebut, daripada wang RM4,000 itu, RM2,000 akan diagihkan untuk bahagian, manakala RM1,000 setiap satu buat sayap wanita dan belia.

Surat itu mencadangkan supaya bantuan diberikan kepada ahli dalam bentuk keperluan asas bernilai RM50, seperti 5kg beras, 1kg gula, 1kg tepung, mi beras, 1 papan telur, dan 1kg minyak masak.

Surat itu menggesa pemimpin bahagian untuk bekerjasama dan memastikan ahli yang terjejas menerima bantuan tersebut.

Malaysia sedang berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP), sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah yang bermula 18 Mac lalu dan sepatutnya berakhir 31 Mac itu telah dilanjutkan sehingga 14 April.

Muhyiddin, yang juga adalah perdana menteri dijadual mengumumkan pakej rangsangan baru pada petang ini, yang menurutnya akan lebih menyuluruh.

Tinggalkan komen anda