Pakej Rangsangan Ekonomi prihatin rakyat mulai 1 April


shadow

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi prihatin rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion berkuatkuasa 1 April.

Seperti yang dijanjikan, daripada jumlah tersebut, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Pakej PRIHATIN ini menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat, tidak kira sama ada nelayan, pekebun kecil, pengusaha chalet, penarik beca, peniaga pasar malam dan pasar tamu akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini.

“Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind,” katanya.

Tambahnya, peruntukan berjumlah RM500 juta diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peruntukan tambahan RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Selain itu, bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

Kerajaan juga akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan dan memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam serta RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir. Justeru, dianggarkan seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini.

Tinggalkan komen anda