Pengurusan kes saman peguam terhadap Lembaga Pengampunan, Anwar 2 Jun


shadow

Kes saman difailkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh yang diberikan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, ditetapkan untuk pengurusan kes pada 2 Jun depan.

Mohd Khairul Azam ketika dihubungi Bernama berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom, hari ini semasa prosiding secara e-review (prosiding pengurusan kes secara dalam talian antara pegawai kehakiman dan peguam tanpa perlu hadir ke mahkamah).

Peguam itu turut memberitahu, salinan writ saman berkenaan masih belum dapat diserahkan kepada Anwar.

“Pada mulanya pihak kami telah menyerahkan sendiri kepada Anwar tetapi beliau enggan terima dan hanya mewakilkan kepada anak perempuannya, Nurul Izzah untuk mengambil saman tersebut. Pihak kami tidak mahu saman itu diberikan kepada pihak lain dan mahu Anwar sendiri menandatangani borang penerimaan.

“Berikutan gagal menyerahkan sendiri saman itu kepada Anwar, kami telah menyerahkan tuntutan saman itu melalui Akuan Penerimaan Pos Berdaftar (A.R Registered dan masih menunggu kad A.R Registered dikembalikan kepada kami sebagai bukti penerimaan saman tersebut,” katanya. 

Mohd Khairul Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates pada 26 Feb lepas dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan pertama dan kedua.

Mengikut penyataan tuntutannya, Mohd Khairul Azam berkata pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, peguam itu mendakwa pada 9 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kerajaan baharu dibentuk, beberapa tindakan salah dan tidak berperlembagaan telah dilaksanakan bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara yang sedang dijalaninya.

Dakwa plaintif, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar adalah bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh YDPA hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempuna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada YDPA bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati YDPA berkenaan rayuan pengampunan Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan kepada YDPA adalah tidak sah dan terbatal.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda