PKP : Enam ditahan syok bersembang di hadapan rumah


shadow

Enam individu termasuk tiga wanita yang tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan polis ketika sedang bersembang di hadapan rumah di Kampung Geliga, Chukai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata, semua yang ditahan itu berusia di antara 20 hingga 32 tahun.

“Sebelum tangkapan, pasukan khas COVID-19 Kemaman sedang menjalankan Rondaan Op Covid-19 di kawasan itu, kira-kira jam 7 petang.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sebelum anggota rondaan bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata , mereka mengaku bersembang selepas ditanya walaupun PKP sudah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Kesemua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan kerana didapati melanggar PKP dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.

“Kesemua suspek merupakan penduduk tempatan dan tahanan reman kesemua suspek akan berakhir pada 31 Mac,” katanya.

Menurutnya, kes ini merupakan tangkapan kedua yang dilakukan pihaknya.

Sebelum ini, pihaknya menangkap lima lelaki berusia di antara 30 hingga 39 tahun yang sedang memancing ikan di Kampung Pasir Minal Binjai, kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.

Tinggalkan komen anda