Segera ke hospital untuk peluang sembuh lebih tinggi, kata Noor Hisham


shadow

Mereka yang memiliki gejala wabak Covid-19, termasuk sukar bernafas, perlu ke hospital di peringkat awal agar peluang survival yang lebih baik, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Ketika sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata salah satu punca utama 15 kematian berkaitan Covid-19 di malaysia ialah kerana mangsa pergi mendapatkan rawatan ketika mereka tidak lagi di peringkat awal jangkitan wabak itu.

Noor Hisham berkata, jangkitan Covid-19 ada lima peringkat, dengan mereka di tahap 3 menunjukkan mengalami pneumonia sementara mereka di tahap 4 pula sudah mengalami kesukaran bernafas dan memerlukan bantuan oksigen.

Tahap 5 pula, katanya lagi, adalah apabila pesakit tidak lagi bernafas dengan baik dan perlu dimasukkan tiub dan memerlukan sokongan ventilator.

“Ramai yang datang kepada kami ketika di tahap 3, apabila mereka sudah mengalami kesukaran bernafas. Misalnya, pesakit terakhir (yang meninggal dunia) datang selepas mengalami gejala sukar bernafas selama tiga hari dan memerlukan bantuan oksigen.

“Ini salah satu faktor kepada kadar kematian, kerana bertangguh ke hospital,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda