SRC International: Latheefa ada mesyuarat penting, akan beri keterangan Khamis


shadow

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya tampil di mahkamah bagi memberi keterangan berkaitan perbicaraan SRC International yang sudah masuk hari ke-86 hari ini.

Latheefa bagaimanapun memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, beliau mempunyai mesyuarat penting yang tidak boleh ditunda hari ini dan memohon kebenaran untuk memberikan keterangan saksi pada Khamis.

Selain itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga memberitahu mahkamah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ada kesilapan dalam sapina terhadap Latheefa dan hanya boleh memberi keterangan pada hari yang lain.

Mohd Nazlan kemudian memberikan kebenaran kepada Latheefa untuk berbuat demikian.

MGF03032020_Mahkamah-KL_01
Saksi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya hadir pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2020.

Semalam peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu hakim yang Latheefa telah disapina untuk hadir ke perbicaraan bagi memberikan keterangan esok.

Kata Shafee, selain daripada Latheefa, yang turut disapina adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Setiausaha Sulit, Tan Sri Syukry Mohd Salleh bagi prosiding pembelaan Najib.

Perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta yang dikaitkan dengan Najib.  – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda