Tiada pemotongan elektrik jika lambat bayar bil


shadow

Orang ramai tidak perlu risau sekiranya lewat membayar bil elektrik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Annuar Nasarah, berkata ini kerana pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd tidak akan membuat pemotongan bekalan elektrik bagi tempoh tersebut.

“Sebagai industri yang prihatin dengan cabaran besar yang dihadapi oleh rakyat berikutan penularan wabak Covid-19 ini, saya ingin mengumumkan bahawa pihak Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. tidak akan membuat pemotongan bekalan elektrik bagi pengguna-pengguna yang lewat membayar elektrik.

“Ia bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa iaitu pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula semalam bagi usaha menangani penularan Covid-19.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu juga melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Tinggalkan komen anda