Agong tinjau lalu -lintas pelaksanaan PKP fasa tiga


shadow

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mencemar duli berkenan meninjau keadaan lalu-lintas pada sebelah malam ketika fasa tiga perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Seri Paduka Baginda pernah mencemar duli meninjau keadaan di ibu kota dengan memandu sendiri kenderaan pada hari ketiga pelaksanaan PKP fasa satu selain turut berkenan meninjau beberapa lokasi tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat sekatan jalan raya.

Menerusi laman sosial Facebook Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan sokongan di atas usaha kerajaan meneruskan fasa tiga PKP.

Pada masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa berpuas hati apabila rakyat memberi kerjasama yang baik dalam mematuhi arahan fasa tiga PKP yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Video berdurasi 18 saat yang dimuat naik memaparkan Seri Paduka Baginda menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda puas hati dengan sikap pematuhan yang ditunjukkan oleh rakyat.

Seri Paduka Baginda berharap rakyat agar dapat memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan diri dan terus berada di rumah bagi membendung wabak Covid-19.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut berdoa semoga penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera.

Tinggalkan komen anda