Amerika Syarikat pulangkan US$300 juta dana 1MDB kepada Malaysia


shadow

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan bahawa sebanyak US$300 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan oleh kerajaan Amerika Syarikat kepada Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu merupakan dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

“Pada 30 Okt 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low telah mencapai penyelesaian dengan DOJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang telah difailkan oleh jabatan itu ke atas aset-aset yang telah dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.

“Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB yang telah disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemulangan US$300 juta itu bermakna dana 1MDB yang telah dikembalikan kepada Malaysia sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset secara keseluruhannya kini berjumlah US$620 juta.

“Proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah US$300 juta ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya, usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat, DOJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang.

Tinggalkan komen anda