Berdepan risiko demi dapatkan bekalan di PKPD Selayang Baru


shadow

Ketika kawalan pergerakan sekitar Selayang Baru diperketatkan, penduduk tempatan yang terputus bekalan asas mereka mengambil risiko dengan membelakangkan undang-undang.

Semasa tinjauan Malaysiakini di Taman Selayang semalam, kawasan sekitarnya dikepung dengan kawat berduri setinggi 2m. Ramai penduduk tempatan yang kelihatan cemas sedang menunggu rakan dan keluarga berhampiran kepungan itu menghantar bekalan kepada mereka.

Dari jauh, pesanan dan peringatan daripada pihak berkuasa suapaya kekal dirumah dalam pelbagai bahasa boleh kedengaran, namun tidak diendahkan. Sekali sekala anggota tentera dan polis meronda di kawasan sekitar.

Setiap kali mereka menjelma, penduduk sekitar ibarat lipas kudung menghilang diri. Sebaik sahaja mereka beredar, penduduk akan menjelma semula.

Kawasan pinggiran Taman Selayang adalah antara tujuh zon di sekitar pasar borong Kuala Lumpur yang telah disekat oleh pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).

Pasar, yang terbesar seumpamanya di negara ini, kini menjadi tumpuan bagi pihak kesihatan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Mengikut kelazimannya, bekalan makanan di kawasan PKPD ini sepatutnya disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Walau bagaimanapun, ramai penduduk yang ditemu ramah mendakwa bahawa ia tidak mencukupi.

Seorang pesara yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 75, berkata jabatan kebajikan membekalkan sekampit beras, minyak masak, dua buku roti, 30 biji telur dan ikan bilis.

“Rumah saya ada 10 orang. Mana cukup?” katanya kepada Malaysiakini.

Seorang penduduk lain, yang hanya ingin dikenali sebagai Leong, 52, berkata bahawa dia terpaksa membeli makanan dari gerai sekitar kerana apa yang dibekalkan oleh jabatan kebajikan tidak mencukupi.

“Hari-hari makan (makanan) sama,” kata Leong, yang bekerja di sebuah kedai biskut.

Low Kian An, 26, yang berada di luar rumah neneknya, berkata penduduk sekitar telah membentuk kumpulan WeChat agar jiran-jiran yang tidak terjejas dapat membantu mereka yang dilarang keluar atau masuk itu.

“Terdapat kira-kira 500 orang dalam kumpulan … Sekiranya kita ada masalah, kita akan tulis dalam kumpulan dan ada orang akan bantu,” katanya.

Semua penduduk yang ditemui mendakwa bahawa mereka tidak menyedari tentang wujudnya pusat operasi kerajaan di kawasan itu, yang sepatutnya membantu mereka membeli bekalan tambahan.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, setiap kawasan PKPD harus mempunyai satu pusat seumpama itu. Beliau juga menasihati orang ramai yang memerlukan bantuan untuk menghubungi Badan Pengurusan Bencana Nasional di talian 03-61201092 atau 03-61261500.

Seorang lagi penduduk Wong, 52, yang adalah pemandu e-hailing, berkata ibu mertuanya yang sudah lanjut usia amat memerlukan lampin dewasa dan dia tidak tahu bagaimana untuk menghubungi pusat operasi itu.

Nasib Wong agak baik, apabila ada rakannya yang sanggup membeli barangan keperluannya dan menyerahkan kepadanya melalui kawat berduri itu.

Priya, 39, seorang pekerja rencam berkata bahawa dia memerlukan susu tepung dan lampin untuk anak kecilnya.

Ketika ditanya sama ada dia tahu di mana pusat operasi itu, atau tidak, dia menjawab: “Saya buta huruf. Mana saya tahu?”

Tidak seperti kebanyakan kawasan di Malaysia, penutupan Taman Selayang ini menyebabkan mereka di perkhidmatan penting tidak dapat pergi bekerja.

Seorang ahli farmasi, yang hanya ingin dikenali sebagai Yap, 28, berkata bahawa dia cukup terkejut apabila bangun pagi pada 25 April dan mendapati kawasan kejiranannya dikepung dan dia tidak dapat pergi bekerja di farmasi berdekatan.

“Malam sebelumnya kami tengok banyak anggota tentera dan polis. Kami tidak tahu apa yang berlaku. Esok harinya, kami bangun dan kena kepung,” katanya.

Wong berkata bahawa terdapat 11 orang di rumahnya dan dia satu-satunya yang bekerja di sektor perkhidmatan penting.

“Tentu saja kami bimbang. Kami terperangkap di rumah, tetapi kami masih perlu belanja wang setiap hari,” katanya.

PKPD di sekitar Selayang Baru akan hanya berakhir pada 3 Mei.

Secara keseluruhan, tujuh kawasan yang diletakan di bawah PKPD yang membabitkan 22,000 penduduk dengan 16,000 dipercayai adalah warga asing.

Tinggalkan komen anda