‘Buat kajian untuk benarkan solat Jumaat di zon hijau’


shadow

Pemuda Amanah Perak mencadangkan agar kajian dibuat untuk membenarkan solat Jumaat dilakukan di kawasan yang telah mencapai zon hijau dan selamat daripada wabak Covid-19.

Biro Dakwah Pemuda Amanah Perak, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, sekiranya keadaan sesuai, kebenaran juga harus diberikan untuk solat berjemaah dan bertarawih dengan bilangan jemaah dihadkan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

“Dalam pengumuman media berhubung perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sentiasa dikemaskini, sangatlah malang kerana tiada pengisytiharan kebenaran menjalankan solat Jumaat yang hanya seminggu sekali.

“Kenapa tiada ‘update’ ijtihad atau perbincangan pihak Kementerian Agama dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bagi memastikan syiar Islam ini tetap tertegak?”soalnya dalam kenyataan.

Merujuk kepada negeri Perak yang telah mencapai status zon hijau, Ahmad Saqif berkata kesimbangan untuk memahami fiqh waqie amat perlu dalam menangani isu berkenaan.

“Bukankan sudah berbeza ‘illat’ yang mana sudah ada kawasan hijau? 

“Meskikah dipukul rata dengan hukum yang sama sedangkan setiap kawasan berbeza dan ada kawalan ketat keluar masuk?”

“Banyak lagi persoalan sebenarnya yang boleh membuka kembali ruang mengkaji kebenaran bagi rakyat ke masjid dengan SOP yang ketat dan sesuai, sepertimana SOP ke kedai barangan harian,” jelasnya.

Malaysia mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Selaras dengan pelaksanaan PKP, sebarang aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat tidak dibenarkan diadakan di amsjid atau surau.

Malah, umat Islam yang menyambut ketibaan Ramadan juga tidak dapat menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah.

Minggu lalu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, mencadangkan solat Jumaat dibenarkan dengan minuman 4 orang.

Wajar masjid diimarahkan

Mengulas lanjut, Ahmad Saqif berkata, sewajarnya masjid kembali diimarahkan sebagai tanda kebergantungan kepada Allah dalam memohon perlindungan dan keampunan-Nya. 

“Kita sudah tujuh minggu tidak ada khutbah, sudah tiada doa berjemaah melebihi 40 orang, sudah tidak ada dibenarkan bertarawih meskipun bertiga antara pegawai masjid (imam, bilal dan siak) di negeri Perak ini dan umumnya berlaku seluruh negara. 

“Menteri agama, para mufti dan KKM kembalilah duduk berbincang tentang hal ini. 

“Masjid boleh menyediakan alat pengukur suhu dan prosedur alatan/ tempat menjaga kebersihan (satinizer) yang sesuai.

“SOP bagaimana yang hendak diterapkan pasti dipatuhi oleh rakyat marhein seperti kami. Asalkan rumah Allah ini kembali diimarahkan,” katanya

Tinggalkan komen anda