COVID-19 : 84 kes pulih, 57 kes baharu dan 2 kematian


shadow

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 84 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini  menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih COVID-19 sebanyak 4,171 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes jangkitan baharu dilaporkan sebanyak 57 kes baharu sekali gus menjadikan kes positif di negara ini sebanyak 6,002 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,729 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

“Dimaklumkan bahawa daripada 57 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 25 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah 32 kes sahaja,” katanya dalam sidang media harian pada hari ini

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) pula terdapat pertambahan dua lagi kes kematian.

“Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 102 kes iaitu 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Menurutnya, kedua-dua kematian itu melibatkan warganegara Malaysia masing-masing berusia 64 tahun dan 72 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Tinggalkan komen anda