COVID-19: Kadar pulih melebihi kes baharu 3 hari berturut-turut


shadow

Kadar pesakit yang pulih daripada wabak COVID-19 di Malaysia melebihi kes positif baharu, memasuki hari ketiga berturut-berturut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 119 kes disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19 hari ini dan dibenarkan pulang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih daripada wabak itu adalah 2,766 kes atau 53.4 peratus.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, katanya, sebanyak 110 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 5,182 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,332 kes. Mereka diasingkan dan diberikan rawatan.

“Hingga kini, seramai 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana daripada jumlah itu sebanyak 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 14 April lalu merekodkan jumlah yang pulih daripada COVID-19 seramai 202 kes, berbanding 170 kes baharu.

Keesokan harinya, KKM sekali lagi mencatatkan perkembangan positif apabila kadar pesakit yang pulih daripada wabak terbabit ialah 169 kes, berbanding 85 kes baharu.

Tinggalkan komen anda