COVID-19 : KKM galakkan penghantaran bekalan ubat, guna perkhidmatan UMP – KP


shadow

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan penggunaan perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (Value Added Services, VAS) terutamanya perkhidmatan Ubat Melalui POS (UMP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

Antara perkhidmatan VAS yang ditawarkan adalah Farmasi Pandu Lalu, Locker4U dan Sistem Temujanji Farmasi seperti melalui telefon dan ambil serta khidmat pesanan ringkas (SMS) dan ambil.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkhidmatan UMP ini membolehkan ubat dihantar terus ke rumah pesakit tanpa pesakit perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan bagi mengambil bekalan ubat.

“Ubat-ubat yang boleh dibekalkan melalui perkhidmatan UMP ini adalah ubat-ubat biji seperti tablet dan kapsul.

“Bagi ubat cecair dan ubat yang memerlukan cara penyimpanan khusus seperti insulin yang perlu disimpan dalam peti sejuk pada suhu 2-8⁰C, pesakit disarankan untuk menggunakan pilihan perkhidmatan VAS yang lain,” katanya menerusi laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kos penghantaran bagi perkhidmatan UMP adalah sebanyak RM5.30 hingga RM10.60 mengikut berat dan zon yang ditanggung oleh pesakit akan ditanggung oleh KKM.

“Bagi meringankan beban pesakit, kos penghantaran ubat melalui perkhidmatan UMP yang dianggarkan sebanyak RM638,000 bermula 6 April 2020 (semalam) hingga 30 Jun 2020, iaitu bagi tempoh 3 bulan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan VAS yang disediakan, pesakit diminta untuk menghubungi unit farmasi di fasiliti KKM masing-masing, tempat mereka menerima rawatan untuk didaftarkan bagi mendapatkan perkhidmatan ini.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan tentang ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali cuti umum).

Tinggalkan komen anda