Covid-19 : Kluster ‘Oversea’ Sombong Dan Tak Bersyukur?


shadow

Tular di media sosial semalam, perbezaan sikap kluster ‘oversea’ dikatakan berlagak, lebih banyak tuntutan dan sering merungut mengenai kemudahan disediakan pihak hospital kepada pesakit Covid-19 dikuarantin manakala kluster tabligh sangat mesra dan mudah memberi kerjasama.

Malah geng tabligh ini, sentiasa bersama al-Quran dan zikir, sikap mereka sangat merendah diri dan tidak pernah merungut ketika menunggu giliran yang lama serta sepanjang rawatan diberikan.

Menerusi akaun Facebook bernama Mohd Afiq yang juga petugas barisan hadapan memberitahu situasi merawat kluster oversea amat menjengkelkan dalam masa yang sama memuji sikap kluster tabligh.

Tidak sedarkah kluster oversea dengan keadaan sekarang yang tidak mengira lagi mengenai darjat dan pangkat, semua dilayan sama rata oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bersyukurlah Kementerian Luar Negeri sudi membawa mereka yang ‘sombong’ ini pulang ke Malaysia.

Sepatutnya, berterima kasih kepada pengorbanan pihak ‘Frontliner’ yang meninggalkan keluarga serta mengadaikan nyawa mereka bahkan perlu memakai pakaian PPE yang tebal membuatkan mereka ini berpeluh-peluh dan kadang-kadang sesak nafas selama berjam-jam lamanya hanya kerana mahu merawat pesakit COVID-19.

Jangan lupa diri, pijak di bumi yang nyata. Orang yang kaya-raya pun tak berguna jika terkena jangkitan wabak COVID-19, inikan pula baru balik luar negara. Cermin diri anda.

Sementara itu, pengkongsian dari Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr. Sakinah Sulong menerusi Facebooknya memberitahu tentang pengalaman mereka melayan golongan yang digelar ‘turun dari kayangan’.

Beliau berkata, golongan ini banyak karenah malah memanggil kakitangan KKM dengan nada marah serta mengelar mereka sebagai anjing dan pencacai najis.

“Memang sangat kurang ajar! Kami tak kisah bekerja keras untuk menyekat penularan Covid-19. Dan bukan kami minta dihampar karpet merah. Tapi betapa kami dihina hanya kerana kami cuba melakukan tugas kami. Sangat menyedihkan.

“Sampaikan ada petugas yang terpaksa berundur tak mampu bersuara. Bimbang timbul kekasaran kerana dimaki begitu.

“Saya fikir, kalau begini kelakuan orang yang dikuarantin, amat bagus sekiranya laporan polis dibuat atau MKN mengeluarkan arahan kepada pihak yang dikuarantin, sekiranya tak nak bagi kerjasama, disumbat lokap sementara!” Katanya.

Tambahnya, petugas kesihatan hanya bertindak mengikut arahan; membuat saringan simptom dan vital sign, pensampelan serta rujukan ke hospital seandainya perlu memastikan rakyat Malaysia yang baru sampai dari luar negeri ini selamat dan tidak menyebarkan pada orang lain.

“Memang kami kena kerja kuat sekarang. Pihak atasan tengah pikir mana nak tempatkan mereka, pihak staff bawahan yang bertugas siang dan malam nak buat saringan. Bukan suka-suka.

“Tapi, nampaknya, ada orang turun kayangan ini, sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan! Memang tak bersyukur!,’ ujarnya.

Dr. Sakinah turut memuji sikap jemaah tabligh. Berbeza dengan orang kayangan.

“Masa kami ambik sampel jemaah tabligh, rata-ratanya mudah bagi kerjasama. Datang awal kalau diminta datang untuk pensampelan. Jarang yang buat masalah. Jarang yang nak bergaduh dengan petugas.

Tergamaknya golongan-golongan ini mengherdik barisan petugas hadapan dengan kata-kata kesat. Terlampau megah melancong ke luar negara tapi akhirnya pulang ke Malaysia memohon diselamatkan dan bantuan rawatan.

Tinggalkan komen anda