COVID-19 : Sultan Johor berkenan kurniakan 42 ventilator


shadow

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan 42 ventilator untuk kegunaan hospital di seluruh Johor.

Menerusi laman rasmi Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mewakili pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas perkenan baginda Tuanku.

Semalam, dalam muat naik di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Sultan Johor bertitah, sumbangan berkenaan disampaikan baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Bantuan ventilator yang kita sampaikan ini juga adalah sumbangan daripada dermawan dan juga rakan saya lain.

“Saya amat memahami pada situasi masa kini, hospital-hospital amat memerlukan peralatan ini khususnya bagi kegunaan pesakit.

“Ini merupakan kerjasama di antara saya, rakan, dermawan dan juga kerajaan negeri bagi bersama-sama mengurangkan beban kerajaan dalam merawat pesakit COVID-19,” titah baginda.

Baginda Tuanku Sultan bertitah, ventilator berkenan akan diagihkan kepada hospital-hospital kerajaan di seluruh Johor mengikut keperluan oleh Pengarah Kesihatan Johor.

“Bukan mudah untuk mendapatkan peralatan ini lebih-lebih lagi ketika musim penularan wabak COVID-19. Kita berusaha keras untuk mendapatkannya.

“Jika ada lagi pihak yang sudi untuk memberi sumbangan kepada YSIJ, kita mungkin dapat mengusahakan lebih banyak untuk kegunaan hospital-hospital,” titah Baginda Tuanku Sultan.

Tinggalkan komen anda