Kesan positif PKP di P Pinang – Berkurangnya sisa buangan


shadow

Beberapa hasil positif dapat dilihat daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Pulau Pinang, dan salah satunya ialah pengurangan sisa buangan isi rumah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Yew Tung Seang berkata, minggu pertama PKP menyaksikan pengurangan sisa sebanyak 12.99 peratus, manakala minggu kedua dengan pengurangan 21.08 peratus.

“Syabas kepada warga Pulau Pinang, kita harap dapat melihat lebih pengurangan sisa buangan pada minggu-minggu akan datang,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Rozali Mohamud berkata sisa buangan di sana berkurang sebanyak 22.26 peratus.

“Minggu kedua PKP menyaksikan penguranganjumlah pengeluaran sisa buangan sehingga 46.04 peratus. Kita berharap ia dapat dikurangkan lagi kepada 50 peratus pada minggu-minggu akan datang,” katanya dalam siaran langsung Facebook yang sama.

Pada tahun lalu, dilaporkan jumlah sisa isi rumah oleh penduduk negeri itu (bahagian pulau) mencecah 650 tan sehari, di sebalik usaha MBPP untuk menanganinya.

Siaran langsung itu yang dibuat dari Komtar turut disertai Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Beliau memaklumkan 4,869 penduduk unit perumahan awam dan kerajaan negeri diberi pengecualian bayaran sewa untuk dua bulan.

Katanya pengecualian itu menelan belanja kerajaan negeri sebanyak RM932,844.00.

“Penduduk dalam 13 skim di bawah MBPP dan satu di bawah MBSP, yang melibatkan 1,816 unit, juga dikecualikan daripada membayar sewa dan ini akan memakan kos sebanyak RM376,844.00 terhadap kerajaan tempatan.

“Terdapat juga lapan skim di bawah jabatan perumahan negeriyang melibatkan 2,911 unit yang dikecualikan daripada membayar sewa selama dua bulan, dan ini akan menelan kos sebanyak RM516,000.00,” katanya.

Beliau turut mengumumkan 10,999 premis perniagaan di bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberi pengecualian sewa selama sebulan.

Menurutnya, langkah itu meliputi 10,552 penjaja dan peniaga kecil dan menelan kos RM1.61 juta.

Tinggalkan komen anda