‘Laporan askar pakai helmet, elak air kencing tak benar’


shadow

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang menafikan dakwaan bahawa anggota tentera yang terlibat dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi kediaman di Kuala Lumpur terpaksa memakai helmet bagi mengelakkan daripada disimbah air kencing warga asing.

Beliau dipetik oleh Bernama sebagai berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak benar.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan warga asing menunjukkan protes dengan larangan ke atas mereka untuk keluar dan masuk ke bangunan itu dengan melempar barangan dari tingkat atas.

Memetik sumber, laporan itu berkaya, bukan sekadar sampah, petugas itu berdepan dengan balingan bungkusan plastik berisi air kencing.

Mereka terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terpaksa berdepan situasi itu ketika melakukan kawalan selama 24 jam di kawasan berkenaan.

“Bukan saja-saja askar pakai helmet ketika berkawal di bangunan-bangunan kediaman itu. Jika kita lihat ketika kawalan sekatan jalan raya, askar tak pakai helmet pun, hanya pakai beret.

“Pakai helmet sebab nak elak daripada kena benda yang dibaling dari atas. Bawang putih pun dibaling dari dalam rumah. Jadi kita tak dapat kenal pasti dari unit mana,” kata sumber yang dipetik akhbar itu.

Tiga bangunan yang dikenakan PKPD itu adalah Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah bermula 31 Mac lalu manakala bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India pula dikuatkuasakan sejak Selasa lalu.

Menurut Sinar Harian, adalah difahamkan protes berkenaan juga berkaitan kesukaran mendapatkan bantuan makanan.

Walau bagaimanapun, semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, kementeriannya akan membekalkan makanan tengah hari dan makan malam sepanjang 14 hari PKPD kepada 1,850 penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Tinggalkan komen anda