‘MKN putuskan warga asing tanpa dokumen diambil tindakan atau tidak’


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) menyerahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memutuskan jika tindakan perlu diambil terhadap warga asing yang didapati tidak memiliki dokumen sah, ketika menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM fokus terhadap merawat pesakit dan kegiatan mengesan kes positif.

“Apa yang penting kita jalankan ujian (pengesanan). Bagi mereka yang tampil, terutama (warga asing) yang hadir himpunan di Masjid Sri Petaling, kita akan laksanakan ujian.

“(Isu) yang penting bagi kita adalah pastikan (mereka) tiada Covid-19.

“Sama ada tindakan akan diambil (berhubung status dan keberadaan mereka dalam negara), kita serah kepada MKN,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan menteri kanan Ismail Sabri Yaakob semalam, bahawa warga asing tanpa dokumen yang ditemui di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKPD) akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Ia bertentangan dengan pengumuman Ismail bulan lalu, ketika beliau menggesa warga asing yang hadir di himpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, termasuk mereka yang tiada dokumen perjalanan yang sah, untuk tampil ke hadapan dengan jaminan mereka tidak akan dikenakan tindakan.

” kita sudah berbincang dengan pihak IGP (Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador) tadi bahawa walaupun mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan, Rohingya sekali pun yang penting mereka juga perlu keluar dan tak perlu takut dari segi dokumen perjalanan.

“Kita tidak fokus kepada dokumen perjalanan mereka tetapi fokus kepada sama ada mereka ini bersih daripada covid-19,” kata Ismail pada 22 Mac lalu.

Pada masa itu, pihak berkuasa masih dalam usaha untuk mengenal pasti semua peserta himpunan Tabligh, yang dianggar berjumlah kira-kira 16,000 orang, termasuk 1,500 warga asing.

Setakat hari ini, sejumlah 2,175 kes atau 36.2 peratus daripada keseluruhan 6,002 kes positif Covid-19 mempunyai kaitan dengan kluster itu.

Menurut Noor Hisham, KKM telah menyaring 21,271 warga asing dalam usaha mengesan kes positif.

Daripada jumlah itu, 811 orang didapati positif dan 431 daripadanya telah dirawat dan dibenarkan keluar hospital, manakala 376 orang lagi masih menerima rawatan dengan empat telah terkorban setakat ini.

Ketika ditanya berkenaan kos yang ditanggung untuk membuat pemeriksaan terhadap warga asing, Noor Hisham tidak memberikan sebarang angka, tetapi berkata setiap ujian Covid-19 berkos antara RM200 hingga RM300.

Tinggalkan komen anda