Pengeluar sarung tangan, kondom tukar buat topeng demi krisis Covid-19


shadow

Top Glove Corp Bhd, pembuat sarung tangan perubatan terbesar di dunia, bercadang memulakan pengeluaran topeng untuk memenuhi permintaan semakin meningkat akibat penularan koronavirus, seorang eksekutif tertinggi memberitahu Reuters.

Syarikat itu, yang menghasilkan satu daripada 5 sarung tangan di dunia, akan mempunyai sebuah kilang dalam masa 2 bulan yang mampu mengeluarkan 110 juta topeng setahun.

“Topeng itu…juga boleh dijual kepada pelanggan penjagaan kesihatan sedia ada, untuk membantu pasaran menangani lonjakan permintaan di sebalik pandemik Covid-19,” kata Pengerusi Eksekutifnya, Lim Wee Chai.

Langkah Top Glove itu menyusul syarikat lain yang mengubah suai pengeluaran mereka untuk menangani kekurangan alat perlindungan dan ujian di dalam negara, yang mempunyai kes positif Covid-19 terbanyak di Asia Tenggara dengan 4,228 kes.

Pembuat kondom terkemuka dunia, Karex Bhd, menukar 2 talian pengeluaran pelincir kepada pensanitasi selepas menerima permintaan daripada pelanggan perubatan.

“Ia bukan jumlah yang sangat besar untuk dimulakan, tetapi kami mendapati kami mampu memulakan pengeluaran dalam masa sebulan selepas ujian percubaan perubatan kerana kami ialah pengeluar produk perubatan diperakui,” kata Ketua Eksekutifnya, Goh Miah Kiat.

Permintaan untuk alat perubatan dan ujian menjadikan negara semakin sukar mendapatkan peralatan asas.

Minggu ini, Malaysia memberi amaran mengenai potensi kekurangan Reagen, bahan kimia yang digunakan dalam ujian diagnostik untuk mengesan kehadiran virus Covid-19.

Selasa lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata, ia hanya mempunyai bekalan Reagen selama seminggu dan sedang mengoptimumkan penggunaan bahan itu sementara cuba mendapatkan bekalan.

CC Cheah, naib presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia, berkata beberapa syarikat anggotanya akan mengubah suai talian pengeluaran untuk menghasilkan alat perlindungan dan ujian bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Katanya, sebuah syarikat yang biasanya membuat bahan untuk lampin akan menukar talian pengeluarannya bagi menyediakan produk digunakan dalam alat perlindungan, manakala seorang pengeluar penerobosan akan membuat kapas kesat yang digunakan untuk mengambil sampel bagi ujian koronavirus.

Tinggalkan komen anda