Penolong pengurus kerugian lebih RM80,000 akibat beg jenama


shadow

KUANTAN – Seorang penolong pengurus kerugian RM84,950 didakwa ditipu seorang lelaki berhubung tuntutan kiriman berisi beg berjenama dari Amerika Syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazri Mohd Yusof berkata, mangsa merupakan wanita berusia 42 tahun itu mendakwa mengetahui tentang kiriman tersebut selepas dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai petugas di syarikat penghantaran pada Isnin lalu.

“Suspek memberitahu bungkusan itu dialamatkan ke tempat kerja mangsa dan disebabkan kandungannya merupakan barangan berjenama, mangsa perlu menjelaskan cukai sebanyak RM9,150 sebelum dapat menuntut beg tersebut. 

“Mangsa yang pada awalnya ragu-ragu dengan kiriman itu namun akhirnya terpedaya apabila diugut oleh suspek yang akan membuat laporan polis atas dakwaan mangsa menerima barangan lari cukai,” katanya dipetik dari Bernama, hari ini. 

Beliau berkata, mangsa yang bimbang kerana telah menyerahkan salinan dokumen peribadinya kepada lelaki berkenaan atas urusan tuntutan bungkusan menyebabkan dia menurut segala arahan suspek.  

Bagaimanapun, mangsa menjadi berang apabila bungkusan terbabit masih belum diterima dan suspek kerap meminta wang walaupun empat transaksi bayaran berjumlah RM84,950 telah dibuat ke akaun bank yang diberikan suspek. 

Jadi atas nasihat rakan, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan. 

Tinggalkan komen anda