Permohonan Ahmad Maslan batal pertuduhan didengar 12 Jun


shadow

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 12 Jun bagi mendengar permohonan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu ke atas beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan memberitahu Bernama mengenai tarikh itu menerusi mesej aplikasi WhatsApp.   

Ini adalah penangguhan kedua diputuskan mahkamah berikutan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 April ini.

Mahkamah sebelum ini menangguhkan permohonan pendengaran pada esok (15 April) dan juga untuk pengurusan kes, kerana pelaksanaan PKP di seluruh negara dari 18 Mac sehingga 14 April bagi mengekang penularan Covid-19. 

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak, dalam pendapatan sebenarnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas timbalan menteri kewangan itu didakwa telah menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan-penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan  Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama

Tinggalkan komen anda