Persatuan pendandan rambut, perubatan bantah operasi premis gunting rambut


shadow

Memetik kebimbangan terdedah jangkitan Covid-19, Persatuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula rancangan untuk membenarkan premis gunting rambut beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (MCO).

“Mustahil untuk mengekalkan jarak satu meter semasa pemotongan rambut. Pelanggan dan pendandan rambut berada dalam keadaan mudah dijangkiti oleh virus.

“Potong rambut tidak harus disenaraikan sebagai perkhidmatan penting, tidak kira rambut panjang atau rambut pendek, perkara yang paling penting sekarang ialah untuk terus hidup.

“Tujuan PKP adalah untuk menyelamatkan nyawa orang, bukan penampilan mereka,” kata MHA dalam satu kenyataan malam ini.

Dalam kaji selidik ahli-ahlinya, persatuan itu berkata 91 peratus responden tidak bersetuju kedai gunting rambut meneruskan operasi.

“MHA, atas nama sebahagian besar pendandan rambut Malaysia […] membantah operasi semasa PKP dan meminta kerajaan untuk mempertimbangkan semula kesihatan dan keselamatan orang ramai serta menarik semula kebenaran untuk kedai gunting rambut kembali berniaga dalam tempoh kritikal ini, “katanya.

Persatuan perubatan juga bantah

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut berkongsi pandangan sama, meminta kerajaan menimbang semula kebenaran untuk perkhidmatan gunting rambut kembali beroperasi dalam tempoh PKP.

Presidennya Dr N Ganabaskaran berkata ini kerana perkhidmatan itu memerlukan kontak antara tukang gunting dengan pelanggan, justeru mendedahkan mereka kepada risiko penularan wabak Covid-19.

“Tukang gunting rambut dan pelanggan berhadapan dengan risiko jangkitan jika salah seorang daripada mereka telah dijangkiti.

“Penjarakan sosial juga akan menjadi cabaran kerana kebanyakan kedai gunting rambut dan salun rambut mempunyai ruang yang terhad.

“Kerajaan perlu memikirkan semula keputusan mereka mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

N Ganabaskaran

Kedua-dua kenyataan itu hadir susulan kebenaran yang diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri semalam, terhadap sejumlah perkhidmatan dan sektor untuk kembali beroperasi ketika PKP, antaranya perkhidmatan gunting rambut asas, dobi bukan layan diri dan industri automotif.

Bagaimanapun, menterinya Azmin Ali berkata pengusaha dalam sektor terbabit wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dan perlu membuat permohonan untuk menyambung operasi bermula Isnin ini (13 April) di laman web Miti.

Beliau turut berkata kebenaran tertakluk kepada pematuhan syarat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan garis panduan oleh agensi penguatkuasaan berkaitan, manakala kegagalan mematuhinya boleh mengakibatkan kebenaran dibatalkan serta-merta dan tindakan undang-undang diambil.

Laman Facebook Public Health Malaysia pula meminta langkah kawalan ketat diambil memandangkan risiko jangkitan yang tinggi di premis gunting rambut, ekoran kontak dan ruangnya yang terhad.

Public Health Malaysia turut memberi beberapa cadangan bagi mengurangkan risiko jangkitan, antaranya sentiasa membasuh tangan, melakukan pembersihan dan nyahkuman premis setiap hari, selain nasihat-nasihat pencegahan lazim seperti yang disarankan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dr Ganabaskaran turut memberi pandangan senada dengan Public Health Malaysia, agar peralatan dan tempat duduk premis berkenaan dinyah kuman selepas setiap potongan rambut, jika kebenaran itu akan diteruskan.

Tinggalkan komen anda