Pesakit Covid-19 muda yang meninggal dunia lambat ke hospital – KP Kesihatan


shadow

Pesakit Covid-19 berusia muda yang meninggal dunia kebanyakannya tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan ketika jangkitan masih di tahap awal, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata demikian ketika menjelaskan trend kematian akibat wabak itu, yang telah mengorbankan 50 nyawa di Malaysia setakat ini.

“Kita juga ada kes kematian melibatkan pesakit muda, seperti pesakit berusia 34 tahun dan yang paling muda 27 tahun. Tetapi (ini kerana) mereka datang (mendapatkan rawatan) di peringkat yang sangat lewat.

“Mereka datang ketika sudah pun di tahap tiga atau empat (jangkitan Covid-19), di mana mereka sudah pun mengalami pneumonia dan perlukan bantuan untuk bernafas.

“Dan di kalangan mereka (yang datang lewat), ada yang kita sudah tak dapat selamatkan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Noor Hisham memaklumkan terdapat lima tahap jangkitan Covid-19. Tahap 1 adalah di mana pesakit didapati positif tetapi tidak menunjukkan apa-apa gejala, manakala Tahap 2 adalah pesakit yang positif yang menunjukkan gejala di tahap rendah.

Tahap 3 menunjukkan pesakit mengalami pneumonia sementara mereka di tahap 4 pula sudah mengalami kesukaran bernafas dan memerlukan bantuan oksigen.

Tahap 5 pula adalah apabila pesakit tidak lagi bernafas dengan baik dan perlu dimasukkan tiub dan memerlukan sokongan ventilator.

Dalam sidang media hari ini, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan mempunyai pasukan yang diketuai bekas timbalan ketua pengarah, Dr Christopher Lee untuk menjalankan audit terhadap kes kematian pesakit Covid-19 di hospital.

Kata Noor Hisham, selain lewat mendapatkan rawatan, pasukan itu juga mendapati terdapat dua lagi kumpulan berisiko tinggi.

“Ramai (yang mati akibat wabak itu) memiliki kencing manis, darah tinggi dan imuniti rendah. Ini merangkumi 67 peratus daripada keseluruhan kes yang meninggal dunia,” katanya.

Satu kumpulan lagi, katanya, merupakan pesakit yang sudah berusia.

Setakat tengah hari tadi, kematian akibat wabak itu mencecah 50 pesakit, dengan jumlah bilangan kes positif meningkat kepada 3,116.

Tinggalkan komen anda