Polis, askar mungkin ditempatkan di LRT dan MRT


shadow

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menempatkan anggota penguat kuasa di stesen transit aliran ringan (LRT) ataupun Transit Aliran Massa (MRT) bagi mengawal jarak sosial orang awam.

Ismail Sabri berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kesesakan yang berlaku di beberapa stesen pengangkutan awam itu.

“Jika berlaku isu (tiada jarak sosial di LRT dan MRT) saya akan berbincang dengan PDRM supaya kita boleh juga menempatkan polis atau agensi penguatkuasaan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Namun, beliau menasihatkan pengguna LRT dan MRT untuk lebih berdisplin serta bertanggungjawab dengan mengutamakan jarak sosial bagi menjaga keselamatan dan kesihatan diri sendiri.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara bersama keluarga dan menjalani kuarantin di hotel akan dibenarkan pulang bersama-sama selepas 14 hari jika kesemua ahli keluarga didapati negatif Covid-19.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas rakyat Malaysia dari luar negara selesai menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Tapi selepas itu Kementerian Kesihatan ada SOP yang perlu dilakukan di rumah dan sebagainya perlu dipatuhi,” katanya.

Mengenai pengecualian pembayaran sewaan kediaman yang dimiliki oleh syarikat atau individu, Ismail Sabri menjelaskan perkara itu di luar kawalan kerajaan.

“Kalau penyewa rumah dimiliki oleh kerajaan atau agensi memang kita telah bersetuju untuk memberi tangguhan dari segi sewa.

“Bagaimanapun banyak yang melibatkan individu dan syarikat di luar daripada kawalan kerajaan jadi agak sukar untuk kita mengenakan sebarang arahan kepada individu untuk memberikan sewa rumah, namun kita ambil maklum tentang perkara itu,” katanya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda