Putrajaya gazet larangan pergerakan lebih 10 km


shadow

ORANG ramai kini hanya dibenarkan untuk membeli makanan dan barangan harian perlu termasuk ubat dalam lingkungan 10 kilometer dari tempat tinggal pada sepanjang fasa kedua perintah kawalan pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam gazet yang sama, kerajaan mengurangkan definisi perkhidmatan perlu daripada 22 sebelum ini kepada hanya 10 saja.

“Peraturan-peraturan ini berkuat kuasa bagi tempoh mulai 1 April 2020 hingga 14 April 2020,” kata peraturan itu, yang dimuatnaik di laman web gazet persekutuan petang ini.

Peraturan dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, semalam, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 

Peraturan ini adalah lanjutan daripada peraturan sama yang dikeluarkan pada 17 mac lalu.

Menurut peraturan yang dilanjutkan ini, mereka yang keluar untuk membeli makanan atau keperluan harian termasuk ubat hanya dibenarkan keluar bersendirian, kecuali jika ada sebab yang munasabah.

Mereka yang keluar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan bagaimanapun dibenarkan untuk ditemani oleh orang lain.

Mereka yang keluar atas alasan tugas rasmi atau tugas yang berkaitan dengan perkhidmatan perlu diminta mengemukakan surat kebenaran majikan.

Antara perkhidmatan yang bukan lagi dikelaskan sebagai perlu mengikut akta berkenaan termasuk pos, bomba, penjara, imigresen, semua jenis pengangkutan, serta pelabuhan dan lapangan terbang.

Hotel dan penginapan, serta hidupan liar juga kini bukan lagi perkhidmatan perlu.

Peraturan baru sepanjang fasa kedua PKP ini turut menjadikan apa saja bentuk perhimpunan sebagai jenayah, melainkan bagi tujuan pengebumian dan itupun hendaklah melibatkan bilangan yang minimum.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan syarat pergerakan lebih ketat sepanjang fasa kedua PKP yang bermula hari ini.

Perintah lebih ketat itu antara lain menghadkan tempoh operasi perniagaan perlu antara 8 pagi hingga 8 malam, termasuk kedai makan, stesen minyak, serta perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan.

Teksi dan perkhidmatan kereta tumpang atau e-hailing dihadkan antara 6 pagi hingga 10 malam, manakala kenderaan persendirian langsung tidak dibenarkan membawa penumpang. 

Tinggalkan komen anda