Terjun laut, mayat dijumpai tersangkut


shadow

GEORGETOWN: Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut dalam sangkar ikan berhampiran Pulau Jerejak pagi tadi selepas dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang tiga hari lalu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun, berkata mayat lelaki yang dikenali sebagai Goay Kheng Seng berusia 76 tahun dari Juru, Bukit Mertajam tersebut dijumpai memakai T-shirt berbelang biru merah serta seluar pendek hitam dan ia sudah disahkan warisnya.

“Lelaki itu dilaporkan terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 5.2 arah Prai menghala ke pulau, pada 27 April lalu.

Sejurus menerima maklumat, operasi mencari dan menyelamat dilakukan serta dikoordinasi Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, membabitkan pelbagai agensi keselamatan iaitu Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia.

“Aset milik agensi keselamatan yang terbabit kemudian digerakkan ke lokasi penemuan mangsa, seterusnya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, dekat sini.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi tujuan bedah siasat,” katanya dipetik dari Berita Harian, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik sangkar itu mengenai penemuan mayat itu pada pukul 8 pagi tadi dan mangsa ditemui pada pukul 10.15 pagi.

Tinggalkan komen anda