‘Tunjuk bil air, elektrik ketika ditahan polis’


shadow

Polis meminta orang ramai menunjukkan bil air dan elektrik semasa sekatan jalan raya untuk membuktikan mereka berada dalam radius 10km seperti digariskan dalam fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim berkata, polis akan berbuat demikian berdasarkan budi bicara mereka terhadap individu yang dicurigai cuba menipu untuk keluar rumah.

“Sementara tempoh 14 hari ni, kita standby jelah bil dalam kereta. Kalau pihak polis tanya, justifikasi nak ke mana, kata nak balik rumah, tunjuklah bil.

“Tapi kalau penuhi syarat tadi (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988) tak perlu (tunjukkan bil),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat polis kontinjen Selangor hari ini.

Di bawah peraturan berkenaan, mereka yang ingin membeli keperluan harian, ubat-ubatan, makanan tambahan dan mendapatkan nasihat perubatan mesti berada dalam radius 10km atau di tempat yang terdekat.

Mereka boleh ditemani individu lain jika ada sebab kukuh untuk berbuat demikian.

Sementara mereka yang mempunyai tugas rasmi atau bekerja di sektor perkhidmatan penting yang ingin bergerak ke kawasan lain mesti menunjukkan surat kebenaran daripada majikan mereka kepada polis.

Peraturan itu juga menjelaskan bahawa mereka yang mempunyai alasan tersendiri untuk keluar ke kawasan lain perlu mendapatkan surat kebenaran daripada balai polis terdekat.

Mohd Ismail berkata beliau juga akan memberi arahan kepada ketua polis daerah bagi menerangkan kepada anggota polis yang bertugas bahawa memadai untuk orang ramai menunjukkan surat kebenaran.

Semalam, Berita Harian melaporkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebagai berkata polis tidak akan melakukan pemeriksaan berdasarkan MyKad kerana ramai yang tidak menukar alamat mereka.

“Kita tidak mahu mereka menipu ketika diperiksa, jadi jika ada bil elektrik itu polis akan tahu mereka tinggal di mana.

“Contoh jika tinggal di Gombak kenapa perlu membeli barang di Kuala Lumpur dan sebab itu kita galakkan mereka bawa bil elektrik atau bil air supaya membantu polis ketika pemeriksaan,

Sementara itu, Mohd Ismail berkata polis telah menahan 685 individu termasuk 243 warga asing kerana melanggar PKP dan undang-undang lain semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan dari 18 Mac hingga 1 April

Tinggalkan komen anda